Thursday, September 24, 2009

BERITA - Terengganu tidak pandang rendah

Terengganu sedikitpun tidak memandang rendah keupayaan tuan rumah, Sarawak, apabila turun mengharungi perlawanan sulung kumpulan B bagi saingan Piala Malaysia di Kuching, Sabtu ini.

Walaupun Sarawak dikatakan menghadapi masalah dan mahu menurunkan ramai pemain Piala Presiden, mereka tetap dianggap berupaya mempamerkan persembahan bertenaga kerana beraksi di depan penyokong sendiri.

Apatah lagi, Terengganu sendiri akan berkunjung tanpa sebarang bintang ternama ketika berusaha membawa pulang mata penuh.

Pengurus Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusuf, berkata skuadnya sudah pasti tidak dapat menurunkan penyerang berbisa, Azlan Ismail (gambar) kerana pemain itu digantung permainan berikutan menerima kad merah dalam perlawanan terakhir Liga Super sewaktu menentang Negeri Sembilan.

Namun Sheikh Ahmad Tajuddin tidak berasa bimbang tanpa kelibat Azlan kerana masih ada pemain yang mampu mengambil alih tempat pemain itu dan tidak kurang hebatnya menerusi penyerang Felda United, Khairul Izwan Khalid dan dia diyakini mampu memikul tugas dengan baik, Sabtu ini.

Sheikh Ahmad Tajuddin berkata, Khairul sudah cukup serasi bergandingan bersama Ashaari Shamsuddin di barisan serangan ketika sesi latihan sewaktu bulan puasa di padang Gong Badak.

“Kami memang mengharapkan kedua-dua pemain itu menggunakan pengalaman mereka untuk membawa kejayaan dalam pertemuan dengan Sarawak, nanti,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Kredit: Hamid Salleh

0 comments:

Post a Comment