Thursday, September 24, 2009

BERITA - Jengking yakin lemahkan Rusa

Johor yakin dapat menundukkan Negeri Sembilan biarpun menyedari pasukan pelawat mempunyai reputasi yang lebih baik menjelang perlawanan pembukaan kumpulan B pada kempen Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.

Kaptennya, Khairul Ismail berkata, kualiti pasukan Jengking sebenarnya berada pada taraf yang sama namun terpaksa 'beralah' dengan status anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang menjadi pilihan berikutan beraksi dalam Liga Super musim ini.

Namun dia berkata, aksi pada perlawanan sulung itu pasti berbeza kerana pasukannya bukan sahaja memiliki kelebihan sokongan penonton di gelanggang sendiri malah berdasarkan corak permainan pantas yang diamalkan musim ini.

"Perlawanan pembukaan Sabtu ini bakal menentukan hala tuju kami dalam kempen Piala Malaysia musim ini apatah lagi bertemu pasukan yang dianggap pilihan seperti Negeri Sembilan.

"Justeru, tiga mata pertama amat penting dan perlu dimiliki bagi melonjakkan semangat pasukan untuk meneruskan saingan dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selain Negeri Sembilan, saingan kumpulan B itu turut menyaksikan satu lagi pasukan dari Liga Super iaitu Terengganu selain pasukan bermasalah Liga Perdana, Sarawak.

Dalam saingan Liga Perdana musim ini, Johor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga di belakang T-Team dan Harimau Muda walaupun mengungguli liga pada pusingan pertama.

Khairul memberitahu, pasukannya masih mengamalkan sistem permainan yang sama, iaitu serangan bertubi-tubi dan pada masa sama kembali bertahan dengan pantas.

Namun katanya, jurulatih Nasir Yusof telah memperkenalkan satu sistem taktikal baru dalam usaha mempelbagaikan corak permainan pasukan agar tidak mudah dibaca pihak lawan.

"Kelemahan yang wujud sepanjang kempen Liga Perdana musim ini telah diperbaiki dan kami harap dapat mempraktikkan sebaik mungkin sistem baru itu.

"Ditambah pula tiada pemain pinjaman dari pasukan lain, keserasian kami hanya perlu dipertingkatkan dan moral pasukan kini semakin memuncak apabila tidak sabar untuk beraksi dalam saingan piala yang berprestij negara ini," katanya.

Menurut Khairul, kehadiran penonton yang ramai turut menjadi faktor penentu kejayaan pasukan Johor sebagai sokongan moral kepada para pemain untuk meraih kemenangan.

"Penonton mampu menyumbang kepada kemenangan kami kerana kehadiran mereka akan memberi satu suntikan semangat tinggi kepada pasukan untuk bermain dengan lebih baik," katanya.

Kredit: Arif Nizam

0 comments:

Post a Comment