Thursday, September 24, 2009

BERITA - Saingan Sengit Menanti Selangor

Saingan Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini bakal menyaksikan Kedah, Perlis serta Kelantan akan berhabis-habisan untuk menyekat Selangor daripada mencatat sejarah memenangi empat piala semusim.

Ia merupakan ramalan jurulatih Selangor, K. Devan yang mengakui piala keempat musim ini bakal berdepan halangan paling sukar, tidak seperti ketika mereka memenangi Piala Sultan Ahmad Shah, juara Liga Super dan Piala FA.

Ini kerana, kata Devan, secara tradisinya, Piala Malaysia amat berlainan berbanding kejohanan lain.

Malah, katanya jika tersilap langkah mungkin kejutan boleh berlaku kerana pasukan lain seperti Johor FC, KM Naza serta KL PLUS yang membuktikan belang mereka dalam saingan liga.

‘‘Memang tradisinya pertandingan Piala Malaysia tidak sama dengan kejohanan lain.

‘‘Ia merupakan kejohanan penghujung musim. Inilah peluang untuk mana-mana pasukan yang kurang menyerlah dalam aksi liga memperbaiki pencapaian mereka.

‘‘Begitu juga di kalangan pemain, mereka pastinya akan beraksi habis-habisan kerana inilah peluang untuk mengukuhkan nama dalam pasukan dan di kejohanan tempatan,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menyedari bahang yang lebih panas dalam aksi Piala Malaysia, Devan enggan lebih awal berangan-angan mendakap Piala Malaysia.

Devan tidak mahu sikap terlalu ghairah untuk memenangi piala keramat bola sepak Malaysia kelak memakan diri apabila hanya berani meletakan sasaran layak ke suku akhir sebelum memasang angan-angan lebih tinggi.

Diundi bersama Sabah, KM Naza dan Polis, Devan berkata: ‘‘Buat masa ini saya tidak memikirkan soal juara. Yang penting kami melepasi peringkat suku akhir, selepas itu barulah saya akan menetapkan sasaran.

‘‘Secara keseluruhannya banyak pasukan lain lagi yang juga mempunyai peluang untuk menjadi penghalang seperti Kedah, Perlis dan Kelantan.

‘‘Pasukan bertaraf kelab seperti Johor FC, KM Naza serta KL PLUS juga mungkin boleh melakukan kejutan.’’

0 comments:

Post a Comment