Tuesday, September 29, 2009

PIALA MALAYSIA - Keputusan Perlawanan 29-09-2009

PIALA MALAYSIA - Jadual Perlawanan 29-09-2009

BERITA - Kedah risau tanpa tenaga penggempur

MOHD Azraai Khor Abdullah menganggap pertemuan dengan Kelantan dalam saingan Piala Malaysia di Kota Bharu, malam ini bakal menentukan arah tuju skuad Kedah - sama ada tersingkir atau pun kembali bernyawa buat mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.

Menurut ketua jurulatih itu, ketiadaan penyerang yang mampu menyudahkan peluang mencetus masalah utama dan tambah perit permintaan mendapatkan penyerang baru turut mencapai jalan buntu.

"Pemain saya beraksi baik di bahagian pertahanan dan tengah tetapi ketumpulan barisan pemain serangan membuat kita berputih mata di gelanggang sendiri ketika Tentera adalah lawan yang harus dapat diatasi.

"Saya tidak ada banyak pilihan untuk menukar barisan pemain serangan tetapi hanya berdoa mereka dapat menemui kembali sentuhan penyudah yang amat membimbangkan kita," katanya.

Azraai bertegas mereka harus membawa pulang mata dari Kelantan jika berhasrat mencerahkan harapan layak ke suku akhir dan menyalakan harapan mempertahankan kejuaraan dimenangi, musim lalu.

"Ketiadaan Khyril (Muhymeen Zambri) memang dirasai tetapi ini bukan alasan kerana sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa kelibat penyerang kebangsaan ini," tambahnya.

Kredit: Bashah Zainol Abidin

BERITA - Aksi Polis bimbangkan Selangor

Aksi yang dipersembahkan Polis pada perlawanan sulung saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu menghadirkan rasa kurang selesa juara Liga Super, Selangor yang pantas merancang sesuatu untuk mengelak daripada menanggung aib malam ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin mengakui Polis bukanlah calang-calang pasukan dan cabaran skuad berkenaan tidak boleh dipandang rendah.

Apatah lagi kejutan yang dilakukan Polis ketika menewaskan barisan pemain kelab yang dianggap mantap iaitu KM Naza 1-0 pada pertemuan pembuka tirai Piala Malaysia, Sabtu lalu membuatkan Selangor tambah tidak senang duduk.

“Untuk melabel Polis sebagai `giant killer’ mungkin terlalu awal tetapi mereka sudah melakukan kejutan dengan menewaskan KM Naza, Sabtu lalu. Berdasarkan kepada persembahan di peringkat Liga Super, KM Naza dianggap lebih baik daripada Polis.

“Selangor perlu berhati-hati jika tidak mahu malu di hadapan penyokong sendiri malam esok (ini). Polis pastinya lebih bersemangat selepas mereka menang pertemuan pertama. Bermain di tempat sendiri (Stadium Shah Alam) bukanlah jaminan untuk kami kerana rekod di stadium berkenaan juga bukanlah 100 peratus di pihak kami,” kata Hamidin.

Selangor dan Polis kini berkongsi kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan D selepas masing-masing menang pada perlawanan pertama dan pertemuan malam ini boleh dianggap sebagai penanda awal mengenai pasukan manakah yang bakal melangkah ke peringkat kedua nanti.

Hamidin berkata, jika berdasarkan persembahan Selangor ketika menumbangkan Sabah di tempat lawan, Sabtu lalu, barisan kendalian K Devan itu berupaya mencipta kemenangan kedua tetapi sebarang tindakan sambil lewa pasti mengundang padah.

Kredit: Lokman Zainal Abidin

BERITA - Perlis diingat jangan bazir peluang

Kemampuan Pahang seri 1-1 dengan KL Plus, Sabtu lalu, menyedarkan Perlis betapa mereka tidak mampu memandang mudah cabaran daripada skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

Sebaliknya, skuad Singa Utara sudah diingatkan supaya tidak membazirkan peluang yang ada apa lagi perlawanan kedua untuk kedua-dua pasukan dalam Kumpulan A itu dilangsungkan di gelanggang sendiri di Stadium Negeri, Kangar, malam ini.

Penolong jurulatih Perlis, Azamri Zali berkata, pemain sudah diingatkan supaya meningkatkan keupayaan masing-masing sekiranya mahu memastikan Perlis tidak dikecewakan di laman sendiri.

"Pemain harus bermain lebih baik daripada apa yang ditunjukkan ketika menundukkan Melaka di gelanggang lawan Sabtu lalu. Pahang sudah membuktikan keupayaan mereka ketika bertemu KL Plus,” katanya.

Bagaimanapun, Azamri percaya kejayaan ketika menewaskan Melaka, mampu menyuntik semangat pemainnya untuk terus memburu kemenangan malam ini.

"Saya tidak fikir pemain akan bermain secara selamat atau memandang rendah keupayaan Pahang.

“Malah, mereka cukup bersemangat untuk memastikan pertemuan di laman sendiri tidak berakhir dengan kekecewaan," katanya.

Kredit: Kamudin Baharom

BERITA - Pahang sedar tugas getir

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh sedar pemainnya berdepan tugas getir apabila bertemu Perlis pada saingan Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam ini.

Namun, Dollah yang gembira dengan komitmen pemain selepas mengutip satu mata ketika mengikat KL Plus 1-1, Sabtu lalu, percaya Pahang mampu menyerlah.

Menurutnya, tiada yang mustahil memandangkan prestasi pemain menunjukkan perkembangan positif.

“Fokus utama kami ialah meraih mata dan jika menang, ia bonus buat pemain untuk lebih menyerlah lagi.

“Oleh itu, kunjungan ke Kangar mempunyai misi besar biarpun Perlis dilihat lebih mantap terutama dibarisi pemain berkualiti.

“Tapi, saya lihat jika peningkatan prestasi pemain konsisten, Pahang akan meraih kejayaan atau sekurang-kurangnya pulang dengan meraih mata,” katanya semalam.

Dollah mengesahkan penyerang Shahzan Muda, Rahman Kadir diturunkan berdepan naib juara Liga Super musim ini.

Menurutnya, jika prestasi Rahman berada pada tahap terbaik, pemain berusia 31 tahun itu mampu merobek gawang tuan rumah.

“Saya juga harap pemain lain memberi kerjasama sebaik mungkin dan tidak sesekali memberi ruang dan peluang kepada lawan membolosi gawang,” katanya.

Saturday, September 26, 2009

PIALA MALAYSIA - Keputusan Perlawanan 26-09-2009

PIALA MALAYSIA - Jadual Perlawanan 26-09-2009

Thursday, September 24, 2009

BERITA - Perlis kenal pasti skuad harapan

Perlis sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang diyakini mampu menggalas cabaran pada kempen Piala Malaysia bermula menentang Melaka di Stadium Hang Tuah, esok.

Ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun belum bersedia untuk mendedahkan nama pemain terbabit tetapi tidak menafikan sebahagian besar daripada mereka adalah tonggak pasukan dalam perlawanan lalu.

“Setakat ini, apa yang saya boleh katakan barisan pemain yang bakal berada dalam kesebelasan utama itu nanti terdiri daripada gabungan muka lama dan baru.

“Ini bukan bermakna mereka yang tidak tersenarai adalah kelompok pemain yang tidak bagus. Mereka tetap penting dan bakal mengisi kedudukan utama sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan terhadap barisan utama seperti kecederaan dan sebagainya,” katanya.

Irfan Bakti berkata, jika berdasarkan kedudukan dan prestasi semasa sudah pasti antara yang bakal mengisi kesebelasan utama ialah ketua pasukan, Mohd Fauzie Nan dan penyerang utama, Mohd Nizaruddin Yusoff.

Selain itu, empat pemain skuad Bawah 23 kebangsaan iaitu penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias, Mazlizam Mohamad, Amar Rohidan dan Ahmad Fakri Sharaani turut menjadi pilihan untuk disenaraikan.

“Mengenal pasti jentera penggerak utama pasukan sebenarnya bukan mudah kerana ia perlu dinilai daripada beberapa aspek agar pemain terpilih itu benar-benar memenuhi kriteria ditetapkan.

“Selain prestasi ketika latihan, keupayaan yang dipamer pada perlawanan persahabatan serta tahap kecergasan, aspek fizikal dan mental turut diambil kira untuk menentukan mereka layak berada dalam kelompok utama,” katanya.

Kredit: Kamudin Baharom

BERITA - Jengking yakin lemahkan Rusa

Johor yakin dapat menundukkan Negeri Sembilan biarpun menyedari pasukan pelawat mempunyai reputasi yang lebih baik menjelang perlawanan pembukaan kumpulan B pada kempen Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.

Kaptennya, Khairul Ismail berkata, kualiti pasukan Jengking sebenarnya berada pada taraf yang sama namun terpaksa 'beralah' dengan status anak buah Wan Jamak Wan Hassan yang menjadi pilihan berikutan beraksi dalam Liga Super musim ini.

Namun dia berkata, aksi pada perlawanan sulung itu pasti berbeza kerana pasukannya bukan sahaja memiliki kelebihan sokongan penonton di gelanggang sendiri malah berdasarkan corak permainan pantas yang diamalkan musim ini.

"Perlawanan pembukaan Sabtu ini bakal menentukan hala tuju kami dalam kempen Piala Malaysia musim ini apatah lagi bertemu pasukan yang dianggap pilihan seperti Negeri Sembilan.

"Justeru, tiga mata pertama amat penting dan perlu dimiliki bagi melonjakkan semangat pasukan untuk meneruskan saingan dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selain Negeri Sembilan, saingan kumpulan B itu turut menyaksikan satu lagi pasukan dari Liga Super iaitu Terengganu selain pasukan bermasalah Liga Perdana, Sarawak.

Dalam saingan Liga Perdana musim ini, Johor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga di belakang T-Team dan Harimau Muda walaupun mengungguli liga pada pusingan pertama.

Khairul memberitahu, pasukannya masih mengamalkan sistem permainan yang sama, iaitu serangan bertubi-tubi dan pada masa sama kembali bertahan dengan pantas.

Namun katanya, jurulatih Nasir Yusof telah memperkenalkan satu sistem taktikal baru dalam usaha mempelbagaikan corak permainan pasukan agar tidak mudah dibaca pihak lawan.

"Kelemahan yang wujud sepanjang kempen Liga Perdana musim ini telah diperbaiki dan kami harap dapat mempraktikkan sebaik mungkin sistem baru itu.

"Ditambah pula tiada pemain pinjaman dari pasukan lain, keserasian kami hanya perlu dipertingkatkan dan moral pasukan kini semakin memuncak apabila tidak sabar untuk beraksi dalam saingan piala yang berprestij negara ini," katanya.

Menurut Khairul, kehadiran penonton yang ramai turut menjadi faktor penentu kejayaan pasukan Johor sebagai sokongan moral kepada para pemain untuk meraih kemenangan.

"Penonton mampu menyumbang kepada kemenangan kami kerana kehadiran mereka akan memberi satu suntikan semangat tinggi kepada pasukan untuk bermain dengan lebih baik," katanya.

Kredit: Arif Nizam

BERITA - Perak kerah tenaga muda

Perak sekali lagi akan menggunakan pemain muda bagi saingan Piala Malaysia yang akan bermula esok menentang UPB-MyTeam.

Selepas membariskan pemain muda dalam Liga Super musim ini, M. Karathu terus menaruh kepercayaan terhadap pemainnya yang rata-rata berusia awal 20-an.

Menurutnya, kebanyakan pemain akan beraksi buat pertama kali dalam saingan Piala Malaysia tetapi ini tidak bermakna skuad Seladang tidak mampu memberi tentangan sengit kepada lawannya.

“Mereka masih lagi berada di peringkat pembangunan namun ia tidak bermakna kami akan terus menjadi pasukan dalam Kumpulan C,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Selain MyTeam, Perak akan menentang Johor FC dan Kuala Lumpur yang diundi dalam kumpulan yang sama.

Jelasnya, dalam saingan Liga Super sebelum ini mereka pernah menang dan kalah sekali kepada pasukan Johor FC manakala ketika bertemu UPB MyTeam mereka mencatatkan satu kekalahan dan seri.

“Walaupun belum pernah bertemu Kuala Lumpur yang beraksi dalam Liga Perdana ini tidak bermakna kemampuan mereka harus diperkecilkan.

“Ini adalah cabaran baru buat pemain muda bertemu dengan pasukan yang belum pernah diuji sepanjang musim ini seperti Kuala Lumpur,” katanya.

Kata Karathu, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi dia berharap anak buahnya dapat mara ke peringkat yang paling tinggi.

“Liga di Malaysia berbeza jika hendak dibandingkan dengan saingan Liga Perdana England (EPL) di mana pasukan gergasi akan terus mengekalkan momentum kemenangan sepanjang musim contohnya seperti Manchester United.

“Di sini sesiapa sahaja boleh muncul juara walaupun dalam saingan liga mereka tidak berada di kelompok teratas,” katanya.

Namun Karathu mengakui pasukan Selangor sekarang ini berada pada tahap terbaik namun dia telah berpesan kepada pemainnya jangan terlalu hormat mana-mana pasukan.

“Baik Selangor atau mana-mana pasukan lain, saya harap pemain tidak terlalu hormat kepada mereka walaupun usia dan pengalaman memisahkan kami dengan pasukan tersebut.

“Saya mahu mereka (pemain) terus bekerja kuat walaupun ada dua atau tiga pemain berusia di bawah 20 tahun,” kata bekas jurulatih Negeri Sembilan itu.

Perak terpaksa bergantung kepada khidmat penyerang sensasi mereka Razali Umar Kandasamy selepas ketiadaan ketua pasukan S. Subramaniam yang digugurkan akibat masalah disiplin.

Kredit: Ferzalfie Fauzi

BERITA - FAP gugur 6 pemain termasuk kapten

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menggugurkan enam pemain termasuk kapten pasukan dalam usaha memantapkan pasukan menghadapi saingan Piala Malaysia 2009 yang bermula esok.

Presidennya, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, keputusan itu diambil ekoran prestasi mereka kurang memberangsangkan, tidak berdisiplin malah tidak memberi manfaat kepada pasukan.

Katanya, semua mereka yang digugurkan daripada pasukan itu adalah adalah M. Prakash yang juga kapten, Muas Badio Zaman, Mohd. Imran Muhammad, S. Mugilan, Mohd. Amirul Omar dan Junaidi Daud.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan enam pemain muda tempatan yang berpotensi dan dipilih daripada skuad gantian pasukan itu bagi menggalas tanggungjawab mencapai sasaran layak ke suku akhir pada saingan kali ini.

Tambahnya, mereka yang terpilih adalah tenaga muda termasuk, Mohd. Solehin Mohd. Rodzi berusia 20 tahun, R. Parameswaran (20), Syamil Masdhoki (19), Muhammad Daud Zo (20), Tan Wei Yeek (20) dan Mohd. Eimie Rohaizad Johari (18).

''Dalam masa singkat ini, FAP telah menyusun pemain bagi memantapkan semula pasukan dan hasilnya kita telah lihat dalam tiga perlawanan persahabatan yang diadakan baru-baru ini.

''Mereka berjaya tewaskan pasukan yang mempunyai nama cukup besar seperti Selangor dan K.M. Naza dan pada masa sama turut mencatatkan mata seri ketika menentang Perlis. Jadi dengan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan kita yakin barisan pemain baru ini mampu mencapai sasaran layak ke suku akhir dan berada pada pasukan lima teratas," katanya semalam.

PIALA MALAYSIA - Kumpulan Piala Malaysia 2009

Kumpulan A
Perlis
KL PLUS FC
Pahang
Melaka

Kumpulan B
Terengganu
Negeri Sembilan
Johor
Sarawak

Kumpulan C
Johor FC
Perak
UPB/MyTeam
Kuala Lumpur

Kumpulan D
Selangor
Kuala Muda NAZA
PDRM
Sabah

Kumpulan E
Kedah
Kelantan
Pulau Pinang
ATM

BERITA - FAM cadang bentuk satu lagi skuad B-20

KUALA LUMPUR – Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan satu lagi pasukan bawah 20 tahun kebangsaan berikutan kejayaan yang diraih oleh skuad Harimau Muda.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, seperti yang diputuskan, skuad bawah 20 tahun kebangsaan yang sedia ada iaitu Harimau Muda yang bergelar juara Liga Perdana musim ini, akan bersaing pada Liga Super musim depan.

“Kami mengambil iktibar dan pengajaran hasil daripada kejayaan Harimau Muda yang menjuarai Liga Perdana walaupun hanya dibentuk sejak tiga tahun lepas sahaja.

“Malah, beberapa pemain skuad itu dipanggil jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal untuk menyertai skuad kebangsaan setelah menunjukkan prestasi yang baik semasa bersama Harimau Muda,” katanya.

Beliau berkata, dengan wujudnya dua pasukan bawah 20 tahun, jurulatih juga akan mempunyai sejumlah pemain yang ramai untuk dipilih mewakili negara terutamanya menjelang kelayakkan Sukan Olimpik 2012 yang akan bermula tahun depan.

“Secara tidak langsung pemain-pemain akan bersaing secara sihat dan kompetitif bagi merebut tempat di dalam skuad utama,” katanya.

Azzuddin berkata, FAM juga sudah menyenarai pendek jurulatih untuk pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super dan namanya akan diumumkan di dalam masa terdekat.

“Kami memang mempunyai beberapa nama di mana mereka merupakan jurulatih-jurulatih tempatan,” katanya.

Skuad Harimau Muda sekarang yang dibimbing oleh jurulatih Ong Kim Swee baru sahaja pulang daripada menjalani latihan dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Slovakia selama 18 hari sejak awal bulan ini.

Selepas cuti Aidilfitri ini, skuad itu akan berangkat ke Laos bagi menghadapi kejohanan tiga penjuru pra-Sukan SEA dari 2 hingga 6 Oktober bersama-sama tuan rumah dan Thailand yang menampilkan skuad bawah 23 tahun.

“Sebaik tamat kejohanan itu, mereka akan ke Vietnam untuk menyertai kejohanan yang akan disertai oleh lapan pasukan termasuk dari Amerika Selatan dan Timur Tengah,” katanya. - Bernama

BERITA - Terengganu tidak pandang rendah

Terengganu sedikitpun tidak memandang rendah keupayaan tuan rumah, Sarawak, apabila turun mengharungi perlawanan sulung kumpulan B bagi saingan Piala Malaysia di Kuching, Sabtu ini.

Walaupun Sarawak dikatakan menghadapi masalah dan mahu menurunkan ramai pemain Piala Presiden, mereka tetap dianggap berupaya mempamerkan persembahan bertenaga kerana beraksi di depan penyokong sendiri.

Apatah lagi, Terengganu sendiri akan berkunjung tanpa sebarang bintang ternama ketika berusaha membawa pulang mata penuh.

Pengurus Terengganu, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusuf, berkata skuadnya sudah pasti tidak dapat menurunkan penyerang berbisa, Azlan Ismail (gambar) kerana pemain itu digantung permainan berikutan menerima kad merah dalam perlawanan terakhir Liga Super sewaktu menentang Negeri Sembilan.

Namun Sheikh Ahmad Tajuddin tidak berasa bimbang tanpa kelibat Azlan kerana masih ada pemain yang mampu mengambil alih tempat pemain itu dan tidak kurang hebatnya menerusi penyerang Felda United, Khairul Izwan Khalid dan dia diyakini mampu memikul tugas dengan baik, Sabtu ini.

Sheikh Ahmad Tajuddin berkata, Khairul sudah cukup serasi bergandingan bersama Ashaari Shamsuddin di barisan serangan ketika sesi latihan sewaktu bulan puasa di padang Gong Badak.

“Kami memang mengharapkan kedua-dua pemain itu menggunakan pengalaman mereka untuk membawa kejayaan dalam pertemuan dengan Sarawak, nanti,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Kredit: Hamid Salleh

BERITA - Karathu makin resah

Menjelang sepak mula Piala Malaysia, jurulatih Perak, M Karathu dilanda keresahan apabila dua penjaga gol utama, Kamarul Effandi Abd Rahim dan Megat Amir Faizal mengalami kecederaan yang mungkin menjejas peluang mereka beraksi dalam perlawanan pembukaan dengan UPB/MyTeam.

Karathu ketika ini hanya mampu berdoa agar salah seorang daripada penjaga gawangnya itu sembuh sebelum perlawanan itu nanti.

Jika apa yang dikhuatiri itu benar-benar berlaku, Perak terpaksa bergantung kepada penjaga gol Piala Presiden, Khairul Amir Sallehuddin.

“Daripada dua pemain itu, kecederaan Kamarul yang agak teruk dan mungkin mengambil masa lama untuk sembuh. Saya berharap Megat sembuh sebelum perlawanan itu.

“Jika kedua-duanya tidak dapat beraksi, Perak tidak mempunyai pemain berpengalaman di gawang nanti,” katanya.

Menurut Karathu, Megat Amir mengalami kecederaan ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang KL Plus, di Ipoh, minggu lalu.

“Akibatnya, Megat Amir tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital selama dua hari. Bagaimanapun dia sudah dibenarkan pulang,” katanya.

Mengenai perlawanan dengan KL Plus itu, Karathu berkata, Perak menang 2-1 melalui jaringan Razali Umar Kandasamy dan Muhammad Nazri Kamal.

“Pemain saya menunjukkan kesungguhan tinggi pada perlawanan itu. Saya berharap ia mampu dikekalkan dalam Piala Malaysia nanti,” katanya.

Mengulas keupayaan dua muka baru, Safuan Aidil Shaari dan Azrul Hazram Awaluddin Baki, jurulatih itu yakin kedua-dua pemain itu sudah bersedia memainkan peranan utama untuk Perak dalam cabaran Kumpulan C nanti.

“Mereka lulus ujian ketika diturunkan dalam tiga perlawanan persahabatan dengan KM Naza, Selangor dan KL Plus. Cuma keserasian mereka perlu digilap kerana baru bermain beberapa kali.

“Saya yakin ia mampu dicapai apabila mereka beraksi dalam lebih banyak perlawanan seterusnya,” katanya.

Kredit: Azizan Hashim

BERITA - KL Plus dan MyTeam Tidak Gentar

Mungkin agak janggal bagi dua pendatang baru, KL Plus dan UPB/MyTeam dalam saingan Piala Malaysia 2009, namun semua itu bukan alasan untuk membuktikan mereka kekurangan pengalaman untuk menjulang piala itu buat pertama kali.

KL Plus dan UPB/MyTeam muncul dalam kancah Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan diangkat ke Liga Super tahun lalu dengan bebanan kini terletak di bahu Mat Zan Mat Aris sebagai jurulatih KL Plus manakala Rashid Hassan selaku penolong jurulatih UPB/MyTeam.

“Kami diperkemaskan dengan kehadiran beberapa pemain T-Team, antaranya Mohd Haris Safwan (Mohd Kamal), Rosdi (Talib) dan Muhamad Fakhrurazi (Musa). Kehadiran mereka pasti akan melengkapkan sasaran kita iaitu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

“Buat masa sekarang, penekanan saya terarah kepada membuat percaturan pemain, di posisi manakah dan siapa di kalangan mereka akan diturunkan menjelang perlawanan pertama nanti,” kata Mat Zan.

Berdasarkan prestasi liga, KL Plus berada di tengah-tengah persada, menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan mengumpul 38 mata manakala UPB/MyTeam di tangga ke-11 dengan 30.

Pencapaian itu bukanlah tiket atau kayu pengukur kepada perjalanan kedua-dua pasukan, apatah lagi usaha mendapatkan khidmat pemain sudah dilakukan (mengikut peraturan jawatankuasa pertandingan tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ) sebelum ini.

Adalah tidak mustahil jika musim ini menyaksikan tampuk kejuaraan bertukar tangan kerana sejak piala ini diperkenalkan pada 1921, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (dulu MPPJ) muncul kelab pertama menjulang piala itu pada 2003.

Dominasi pasukan negeri kini menjadi persoalan apakah mereka mampu meneruskan penguasaan atau terpaksa melepaskan mahkota yang dianggap begitu berharga kepada mana-mana kelab - terus menjadi bualan semua pihak.

Sejarah kelab MBPJ tidak pernah dilupakan dan tiada siapa menyangka mereka ketika itu di bawah bimbingan Dollah Salleh memecahkan kebuntuan untuk melakarkan kejutan untuk menjulang piala itu selepas menundukkan Sabah, 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas undian peringkat kumpulan selesai, KL Plus diletakkan bersama-sama naib juara liga, Perlis, Pahang dan Melaka dalam Kumpulan A sementara UPB/MyTeam, Johor FC, Perak dan Kuala Lumpur dalam Kumpulan C.

Kedah adalah juara bertahan manakala Selangor yang dikatakan pasukan pilihan musim ini muncul naib juara. Pada final tahun lalu, penguasaan Kedah begitu ketara apabila mempertahankan piala itu buat kali kedua berturut-turut dengan menundukkan Selangor, 3-2.

Begitupun, ujian pertama KL Plus menentang Pahang di Kuantan manakala UPB/MyTeam akan berdepan Perak di Kelana Jaya - menguji sejauh mana prestasi kali ini berbanding ketika mereka beraksi dalam liga.

Kredit: Alias Abd Rani

BERITA - Pengalaman senjata utama Sathianathan

Jurulatih baru skuad bola sepak Kelantan, B. Sathianathan telah bersiap sedia membawa pasukan itu mengharungi cabaran kempen Piala Malaysia bermula Sabtu ini.

Beliau berkata, skuad Red Warrior sendiri adalah sebuah pasukan yang dibarisi oleh pemain yang mempunyai keazaman tinggi untuk mencipta kejayaan, malah mendapat sokongan padu peminat.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dimiliki di peringkat antarabangsa untuk menggabungkan semua elemen tersebut dalam satu acuan yang mampu mencipta kejayaan kepada pasukan ini.

"Saya nampak sejak kebelakangan ini Kelantan satu pasukan yang serius dan bercita-cita tinggi dengan barisan pemain yang berkaliber serta mempunyai peminat yang sangat fanatik.

"Mereka ada cita-cita oleh itu sebagai seorang jurulatih kita ikut cara itu (cita-cita) dan saya sendiri telah biasa dengan tekanan sama ada ketika bersama pasukan kebangsaan atau pun untuk menghadapi peminat fanatik," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sathianathan mengambil alih jawatan sebagai jurulatih Kelantan selepas Peter James Butler meletakkan jawatan pada 16 September lalu.

Harapan penyokong untuk pasukan itu mencipta kejayaan sememangnya tinggi terutama sekali taktik menyerang yang menjadi senjata utama Butler sebelum ini, berjaya membawa Red Warrior ke perlawanan akhir Piala FA sebelum tewas kepada Selangor.

Sementara itu, dalam kempen Liga Super, Kelantan berjaya menduduki tangga keenam iaitu satu keputusan membanggakan walaupun baru pertama kali menyertai kancah tersebut.

Kelantan yang diundi dalam Kumpulan E bersama Kedah, Tentera dan Pulau Pinang akan memulakan cabaran mereka Sabtu ini menentang skuad Pulau Mutiara.

Sathianathan berkata, faktor pemain dan penyokong yang sentiasa memenuhi Stadium Sultan Muhamed IV ketika pasukan tersebut beraksi di laman sendiri akan turut menjadi penentu kejayaan pasukan.

Sementara itu, katanya, pelantikan Indra Putra Mahayuddin sebagai kapten baru pasukan menggantikan Badri Radzi yang mengalami kecederaan jangka panjang adalah satu pilihan tepat.

BERITA - Kedah Akui Sukar Pertahan Piala Malaysia

Walaupun dilabel sebagai antara pencabar utama pada saingan kali ini, Kedah yang kehilangan empat pemain utama akibat cedera, mengakui sukar untuk mempertahankan Piala Malaysia.

Ini diakui oleh pengendalinya Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas kehilangan Khyril Muhymeen Abd. Zambri, V. Thirumurugan, Fadly Baharom dan Saramsak Kram.

Ketiadaan pemain yang rata-rata beraksi di bahagian serangan, menjejaskan persiapan untuk memulakan kempen Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini.

Jelasnya, tanpa pemain tersebut ia amat menyulitkan peluang Kedah untuk memberi saingan sengit kepada pasukan lawan termasuk kegagalan mereka meminjam pemain dari pasukan lain yang tidak beraksi dalam Piala Malaysia.

“Bagaimanapun kita akan menggunakan kemampuan pemain yang sedia ada dan mereka mampu menggalas tugas berat ini.

“Sasaran kami ialah melayakkan diri secara automatik ke peringkat suku akhir, iaitu muncul juara kumpulan,” kata Azraai.

Kedah diundi dalam Kumpulan E bersama Kelantan, Pulau Pinang dan Tentera.

“Kelantan merupakan lawan yang sukar kerana mereka pernah menewaskan kami dalam saingan liga di gelanggang sendiri tetapi kami berjaya menebus kekalahan tersebut ketika berkunjung ke Kota Bharu.

“Selain itu mereka juga mempunyai ramai pemain berpengalaman termasuk berjaya mendapatkan beberapa pemain baru melalui pinjaman dan akan dilatih oleh bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan,” katanya.

BERITA - Saingan Sengit Menanti Selangor

Saingan Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini bakal menyaksikan Kedah, Perlis serta Kelantan akan berhabis-habisan untuk menyekat Selangor daripada mencatat sejarah memenangi empat piala semusim.

Ia merupakan ramalan jurulatih Selangor, K. Devan yang mengakui piala keempat musim ini bakal berdepan halangan paling sukar, tidak seperti ketika mereka memenangi Piala Sultan Ahmad Shah, juara Liga Super dan Piala FA.

Ini kerana, kata Devan, secara tradisinya, Piala Malaysia amat berlainan berbanding kejohanan lain.

Malah, katanya jika tersilap langkah mungkin kejutan boleh berlaku kerana pasukan lain seperti Johor FC, KM Naza serta KL PLUS yang membuktikan belang mereka dalam saingan liga.

‘‘Memang tradisinya pertandingan Piala Malaysia tidak sama dengan kejohanan lain.

‘‘Ia merupakan kejohanan penghujung musim. Inilah peluang untuk mana-mana pasukan yang kurang menyerlah dalam aksi liga memperbaiki pencapaian mereka.

‘‘Begitu juga di kalangan pemain, mereka pastinya akan beraksi habis-habisan kerana inilah peluang untuk mengukuhkan nama dalam pasukan dan di kejohanan tempatan,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menyedari bahang yang lebih panas dalam aksi Piala Malaysia, Devan enggan lebih awal berangan-angan mendakap Piala Malaysia.

Devan tidak mahu sikap terlalu ghairah untuk memenangi piala keramat bola sepak Malaysia kelak memakan diri apabila hanya berani meletakan sasaran layak ke suku akhir sebelum memasang angan-angan lebih tinggi.

Diundi bersama Sabah, KM Naza dan Polis, Devan berkata: ‘‘Buat masa ini saya tidak memikirkan soal juara. Yang penting kami melepasi peringkat suku akhir, selepas itu barulah saya akan menetapkan sasaran.

‘‘Secara keseluruhannya banyak pasukan lain lagi yang juga mempunyai peluang untuk menjadi penghalang seperti Kedah, Perlis dan Kelantan.

‘‘Pasukan bertaraf kelab seperti Johor FC, KM Naza serta KL PLUS juga mungkin boleh melakukan kejutan.’’

BERITA - Dua tidak lulus dipinjam ke Piala Malaysia

KUALA LUMPUR - Hanya dua daripada 19 pemain yang tidak diluluskan untuk menyertai pasukan baru secara pinjaman dalam persaingan bola sepak berprestij negara, Piala Malaysia 2009 yang bermula Sabtu ini.

Satu kenyataan Jabatan Media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyebut, mereka ialah P. Rajes daripada Shahzan Muda dan pemain PKNS, Mohd. Saiful Mustafa yang kedua-duanya cuba mewakili Melaka.

Kenyataan tersebut juga bagaimanapun tidak menjelaskan atas alasan apakah pendaftaran mereka ke pasukan sementara itu ditolak tetapi senarai semua pemain pinjaman yang diluluskan telah pun disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Shahzan Muda dan PKNS, dua kelab yang mewakili Pahang dan Selangor tidak layak menyertai Piala Malaysia yang mendasarkan pencapaian empat kelab terbaik daripada Liga Super sepanjang musim 2008.

Hanya Johor FC, UPB-MyTeam, KL PLUS dan KM Naza yang bakal berentap dengan kesemua 14 negeri di seluruh Malaysia selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merebut trofi yang berusia 42 tahun itu.

Pahang bagaimanapun diluluskan untuk meminjam tiga lagi pemain Shahzan Muda iaitu Jalaluddin Abu Jaafar, Shahril Faizal Ahmad Shariffuddin dan Abdul Rahman Kadir sementara G. Mahathevan bakal menyertai Sabah.

T-Team yang bergelar naib juara Liga Perdana musim 2009 di belakang Harimau Muda pula menjadi penyumbang terbesar pemainnya, tujuh orang dengan tiga menyertai KL PLUS, dua ke Perak dan seorang lagi dipinjam Negeri Sembilan.

Status bekas pemain kebangsaan selain persaingan Piala Malaysia yang dikenali cukup berbeza dengan Liga Super, KL PLUS diluluskan untuk memiliki sementara Haris Safwan Kamal, Rosdi Talib dan Muhd. Fakhrurazi Musa.

Hasrat Negeri Sembilan untuk mendapatkan pemain tengah menyerang T-Team, Hairuddin Omar bagi menambah sengat serangan bersama penyerang muda, Zaquan Adha Radzak, turut mendapat restu FAM.

Dua pemain kelab baru dari Terengganu itu, Azrul Hazran Amiludin Baki dan Shafuan Adli Shaari pula bakal memperkuatkan Perak manakala Mohd. Norhisham Hassan menyertai negeri tetangga, Kelantan bagi menghadapi Piala Malaysia.

Sekalipun sekadar menduduki tempat keenam Liga Perdana, Felda United diluluskan untuk meminjamkan tiga pemainnya kepada negeri induknya, Kuala Lumpur iaitu Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, Farouk Hashim dan Norismaidham Ismail.

Dua lagi pemain kelab yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini yang mewakili pasukan lain buat sementara ialah bekas bek tengah negara, Nazrulerwan Makmor (Kelantan) dan Khairul Izwan Khalid (Terengganu).

Perlis yang muncul naib juara Liga Super juga diluluskan FAM untuk mendapatkan khidmat pemain Proton, Zamri Hassan.

Kredit: Hafiz Ahmad