Thursday, September 24, 2009

BERITA - Kedah Akui Sukar Pertahan Piala Malaysia

Walaupun dilabel sebagai antara pencabar utama pada saingan kali ini, Kedah yang kehilangan empat pemain utama akibat cedera, mengakui sukar untuk mempertahankan Piala Malaysia.

Ini diakui oleh pengendalinya Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas kehilangan Khyril Muhymeen Abd. Zambri, V. Thirumurugan, Fadly Baharom dan Saramsak Kram.

Ketiadaan pemain yang rata-rata beraksi di bahagian serangan, menjejaskan persiapan untuk memulakan kempen Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini.

Jelasnya, tanpa pemain tersebut ia amat menyulitkan peluang Kedah untuk memberi saingan sengit kepada pasukan lawan termasuk kegagalan mereka meminjam pemain dari pasukan lain yang tidak beraksi dalam Piala Malaysia.

“Bagaimanapun kita akan menggunakan kemampuan pemain yang sedia ada dan mereka mampu menggalas tugas berat ini.

“Sasaran kami ialah melayakkan diri secara automatik ke peringkat suku akhir, iaitu muncul juara kumpulan,” kata Azraai.

Kedah diundi dalam Kumpulan E bersama Kelantan, Pulau Pinang dan Tentera.

“Kelantan merupakan lawan yang sukar kerana mereka pernah menewaskan kami dalam saingan liga di gelanggang sendiri tetapi kami berjaya menebus kekalahan tersebut ketika berkunjung ke Kota Bharu.

“Selain itu mereka juga mempunyai ramai pemain berpengalaman termasuk berjaya mendapatkan beberapa pemain baru melalui pinjaman dan akan dilatih oleh bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment