Thursday, September 24, 2009

BERITA - Karathu makin resah

Menjelang sepak mula Piala Malaysia, jurulatih Perak, M Karathu dilanda keresahan apabila dua penjaga gol utama, Kamarul Effandi Abd Rahim dan Megat Amir Faizal mengalami kecederaan yang mungkin menjejas peluang mereka beraksi dalam perlawanan pembukaan dengan UPB/MyTeam.

Karathu ketika ini hanya mampu berdoa agar salah seorang daripada penjaga gawangnya itu sembuh sebelum perlawanan itu nanti.

Jika apa yang dikhuatiri itu benar-benar berlaku, Perak terpaksa bergantung kepada penjaga gol Piala Presiden, Khairul Amir Sallehuddin.

“Daripada dua pemain itu, kecederaan Kamarul yang agak teruk dan mungkin mengambil masa lama untuk sembuh. Saya berharap Megat sembuh sebelum perlawanan itu.

“Jika kedua-duanya tidak dapat beraksi, Perak tidak mempunyai pemain berpengalaman di gawang nanti,” katanya.

Menurut Karathu, Megat Amir mengalami kecederaan ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang KL Plus, di Ipoh, minggu lalu.

“Akibatnya, Megat Amir tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital selama dua hari. Bagaimanapun dia sudah dibenarkan pulang,” katanya.

Mengenai perlawanan dengan KL Plus itu, Karathu berkata, Perak menang 2-1 melalui jaringan Razali Umar Kandasamy dan Muhammad Nazri Kamal.

“Pemain saya menunjukkan kesungguhan tinggi pada perlawanan itu. Saya berharap ia mampu dikekalkan dalam Piala Malaysia nanti,” katanya.

Mengulas keupayaan dua muka baru, Safuan Aidil Shaari dan Azrul Hazram Awaluddin Baki, jurulatih itu yakin kedua-dua pemain itu sudah bersedia memainkan peranan utama untuk Perak dalam cabaran Kumpulan C nanti.

“Mereka lulus ujian ketika diturunkan dalam tiga perlawanan persahabatan dengan KM Naza, Selangor dan KL Plus. Cuma keserasian mereka perlu digilap kerana baru bermain beberapa kali.

“Saya yakin ia mampu dicapai apabila mereka beraksi dalam lebih banyak perlawanan seterusnya,” katanya.

Kredit: Azizan Hashim

0 comments:

Post a Comment