Thursday, September 24, 2009

BERITA - Perlis kenal pasti skuad harapan

Perlis sudah mengenal pasti kesebelasan utama yang diyakini mampu menggalas cabaran pada kempen Piala Malaysia bermula menentang Melaka di Stadium Hang Tuah, esok.

Ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun belum bersedia untuk mendedahkan nama pemain terbabit tetapi tidak menafikan sebahagian besar daripada mereka adalah tonggak pasukan dalam perlawanan lalu.

“Setakat ini, apa yang saya boleh katakan barisan pemain yang bakal berada dalam kesebelasan utama itu nanti terdiri daripada gabungan muka lama dan baru.

“Ini bukan bermakna mereka yang tidak tersenarai adalah kelompok pemain yang tidak bagus. Mereka tetap penting dan bakal mengisi kedudukan utama sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan terhadap barisan utama seperti kecederaan dan sebagainya,” katanya.

Irfan Bakti berkata, jika berdasarkan kedudukan dan prestasi semasa sudah pasti antara yang bakal mengisi kesebelasan utama ialah ketua pasukan, Mohd Fauzie Nan dan penyerang utama, Mohd Nizaruddin Yusoff.

Selain itu, empat pemain skuad Bawah 23 kebangsaan iaitu penjaga gawang, Mohd Farizal Marlias, Mazlizam Mohamad, Amar Rohidan dan Ahmad Fakri Sharaani turut menjadi pilihan untuk disenaraikan.

“Mengenal pasti jentera penggerak utama pasukan sebenarnya bukan mudah kerana ia perlu dinilai daripada beberapa aspek agar pemain terpilih itu benar-benar memenuhi kriteria ditetapkan.

“Selain prestasi ketika latihan, keupayaan yang dipamer pada perlawanan persahabatan serta tahap kecergasan, aspek fizikal dan mental turut diambil kira untuk menentukan mereka layak berada dalam kelompok utama,” katanya.

Kredit: Kamudin Baharom

0 comments:

Post a Comment