Tuesday, September 29, 2009

BERITA - Pahang sedar tugas getir

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh sedar pemainnya berdepan tugas getir apabila bertemu Perlis pada saingan Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam ini.

Namun, Dollah yang gembira dengan komitmen pemain selepas mengutip satu mata ketika mengikat KL Plus 1-1, Sabtu lalu, percaya Pahang mampu menyerlah.

Menurutnya, tiada yang mustahil memandangkan prestasi pemain menunjukkan perkembangan positif.

“Fokus utama kami ialah meraih mata dan jika menang, ia bonus buat pemain untuk lebih menyerlah lagi.

“Oleh itu, kunjungan ke Kangar mempunyai misi besar biarpun Perlis dilihat lebih mantap terutama dibarisi pemain berkualiti.

“Tapi, saya lihat jika peningkatan prestasi pemain konsisten, Pahang akan meraih kejayaan atau sekurang-kurangnya pulang dengan meraih mata,” katanya semalam.

Dollah mengesahkan penyerang Shahzan Muda, Rahman Kadir diturunkan berdepan naib juara Liga Super musim ini.

Menurutnya, jika prestasi Rahman berada pada tahap terbaik, pemain berusia 31 tahun itu mampu merobek gawang tuan rumah.

“Saya juga harap pemain lain memberi kerjasama sebaik mungkin dan tidak sesekali memberi ruang dan peluang kepada lawan membolosi gawang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment