Tuesday, September 29, 2009

BERITA - Perlis diingat jangan bazir peluang

Kemampuan Pahang seri 1-1 dengan KL Plus, Sabtu lalu, menyedarkan Perlis betapa mereka tidak mampu memandang mudah cabaran daripada skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

Sebaliknya, skuad Singa Utara sudah diingatkan supaya tidak membazirkan peluang yang ada apa lagi perlawanan kedua untuk kedua-dua pasukan dalam Kumpulan A itu dilangsungkan di gelanggang sendiri di Stadium Negeri, Kangar, malam ini.

Penolong jurulatih Perlis, Azamri Zali berkata, pemain sudah diingatkan supaya meningkatkan keupayaan masing-masing sekiranya mahu memastikan Perlis tidak dikecewakan di laman sendiri.

"Pemain harus bermain lebih baik daripada apa yang ditunjukkan ketika menundukkan Melaka di gelanggang lawan Sabtu lalu. Pahang sudah membuktikan keupayaan mereka ketika bertemu KL Plus,” katanya.

Bagaimanapun, Azamri percaya kejayaan ketika menewaskan Melaka, mampu menyuntik semangat pemainnya untuk terus memburu kemenangan malam ini.

"Saya tidak fikir pemain akan bermain secara selamat atau memandang rendah keupayaan Pahang.

“Malah, mereka cukup bersemangat untuk memastikan pertemuan di laman sendiri tidak berakhir dengan kekecewaan," katanya.

Kredit: Kamudin Baharom

0 comments:

Post a Comment