Tuesday, September 29, 2009

BERITA - Kedah risau tanpa tenaga penggempur

MOHD Azraai Khor Abdullah menganggap pertemuan dengan Kelantan dalam saingan Piala Malaysia di Kota Bharu, malam ini bakal menentukan arah tuju skuad Kedah - sama ada tersingkir atau pun kembali bernyawa buat mempertahankan mahkota kejuaraan mereka.

Menurut ketua jurulatih itu, ketiadaan penyerang yang mampu menyudahkan peluang mencetus masalah utama dan tambah perit permintaan mendapatkan penyerang baru turut mencapai jalan buntu.

"Pemain saya beraksi baik di bahagian pertahanan dan tengah tetapi ketumpulan barisan pemain serangan membuat kita berputih mata di gelanggang sendiri ketika Tentera adalah lawan yang harus dapat diatasi.

"Saya tidak ada banyak pilihan untuk menukar barisan pemain serangan tetapi hanya berdoa mereka dapat menemui kembali sentuhan penyudah yang amat membimbangkan kita," katanya.

Azraai bertegas mereka harus membawa pulang mata dari Kelantan jika berhasrat mencerahkan harapan layak ke suku akhir dan menyalakan harapan mempertahankan kejuaraan dimenangi, musim lalu.

"Ketiadaan Khyril (Muhymeen Zambri) memang dirasai tetapi ini bukan alasan kerana sebelum ini pun kita pernah beraksi tanpa kelibat penyerang kebangsaan ini," tambahnya.

Kredit: Bashah Zainol Abidin

0 comments:

Post a Comment