Thursday, June 25, 2009

BERITA - UPB-MyTeam tarik diri?

UPB-MyTeam hanya akan bertahan hingga penghujung musim ini gara-gara kecenderungan pengurusan kelab itu untuk memilih keputusan menarik diri daripada Liga Super tahun depan.

Pilihan itu kini serius dipertimbangkan selepas UPB-MyTeam mendapati kian sukar untuk menyanggupi tanggungjawab memikul beban kewangan buat membiayai cabaran pasukan.

Ianya menyusul selepas pengesahan bahawa jurulatih pasukan, Bojan Hodak, meletak jawatan baru-baru ini - dengan antara faktornya ialah untuk membantu meringankan beban kewangan pasukan.

Kemelut itu diakui sendiri presidennya, Khairy Jamaluddin, yang bagaimanapun masih mahu menaruh harapan betapa 'keadaan akan mampu berubah menjadi lebih baik.'

"Memang ada beberapa kemungkinan dipertimbangkan, termasuk terus menyertai Liga Super ataupun menarik diri.

"Apa yang pasti, kini kian sukar untuk memenuhi komitmen kewangan ekoran keadaan ekonomi semasa. Ketika ini, saya memang tidak tolak kemungkinan MyTeam akan menarik diri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Perkhabaran itu menjelma hanya tiga hari selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim, turut membayangkan akan menarik diri daripada kempen Piala Malaysia ekoran masalah kewangan sama.

Namun andainya penarikan diri jadi jalan keluar terakhir, Khairy bagaimanapun menegaskan MyTeam tidak akan berkubur langsung.

"Kami mungkin akan kembali menumpukan perhatian kepada tujuan asal penubuhan MyTeam, iaitu untuk mencungkil bakat pemain muda secara meluas di seluruh negara," katanya.

UPB-MyTeam kini menduduki tangga ke-11 daripada 14 pasukan Liga Super, selepas hanya mencatat lapan kemenangan daripada 20 perlawanan yang sudah diharungi.

Kredit kepada: Ahmad Khawari Isa

0 comments:

Post a Comment