Friday, June 26, 2009

BERITA - Hardi: Pertemuan hidup mati Selangor, Perlis

PERTEMUAN getir Selangor dengan Perlis pada aksi Liga Super esok disifatkan pemain tengah skuad Merah Kuning, Hardi Jaafar sebagai perlawanan hidup-mati pasukan itu dalam menamatkan penantian kejuaraan liga selama sembilan tahun.

Bagi Hardi, keputusan perlawanan itu bakal menjadi penentu dalam hala tuju pasukannya yang kini menerajui liga dengan 47 mata, dua mata mengatasi Perlis.

Namun, bekas pemain Perak dan TMFC itu sedar Selangor tidak boleh terus mempamerkan aksi kurang meyakinkan dengan membiarkan lawan menguasai permainan seperti ketika pertemuan dengan Johor FC kelmarin.

"Kami menang 4-1 ke atas Johor FC hanya menerusi gerakkan serang balas, tetapi mereka yang lebih banyak menguasai perlawanan. Kami tidak boleh membiarkan ia berulang apabila berdepan Perlis.

"Perlis adalah lawan yang lebih sukar berbanding Johor FC kerana mereka juga adalah pencabar utama kami dalam liga."

Selepas membantu Selangor menjuarai Piala FA, April lalu, Hardi kini mempunyai impian tersendiri untuk memenangi kejuaraan liga pertama sepanjang kariernya dan berazam memberikan aksi terbaik dalam enam perlawanan terakhir Selangor dalam Liga Super bagi memastikan impian itu mampu dicapai.

"Ini adalah peluang terbaik kami untuk memenangi kejuaraan liga dan kami tidak harus mensia-siakan peluang ini serta mengecewakan peminat kami.

"Sudah pasti saya mahukan kejuaraan liga pertama dalam karier dan saya mahu memenanginya bersama Selangor musim ini kerana ia adalah misi peribadi saya dalam membatu pasukan ini untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga selama sembilan tahun," katanya.

Kredit kepada: Mohd Fadzrie Hazis

0 comments:

Post a Comment