Monday, June 29, 2009

BERITA - Amaran gugur pemain tidak komited

PENGURUSAN skuad Negeri Sembilan tidak teragak-agak mengetepikan pemain yang tidak komited susulan kekalahan 3-0 kepada Johor FC dalam saingan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang kelmarin, yang menyebabkan mereka turun ke tangga keenam carta.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, berkata pihaknya akan menemui semua pemain hari ini bagi mendapatkan gambaran daripada mereka dan mengenal pasti punca sebenar prestasi hambar yang ditunjukkan dalam empat perlawanan terakhir.

Menurutnya, terdapat beberapa pemain utama pasukan itu yang tidak memberikan persembahan 100 peratus hingga menyumbang kepada keputusan mengecewakan bukan saja dalam perlawanan kelmarin, malah pada tiga aksi terakhir ketika menentang Kedah, Selangor dan Perak.

"Saya dapat rasakan ada pemain utama yang tidak komited ketika beraksi, kemungkinan mereka menyembunyikan sesuatu daripada perhatian pengurusan dan jurulatih hingga menjejaskan kekuatan keseluruhan pasukan.

"Walaupun sebelum ini ada pemain yang menghadapi masalah menemui saya, saya yakin ada pemain lain yang tidak berbuat demikian dan nampak seolah-olah ada gangguan konsentrasi ketika berada di padang.

"Saya boleh terima jika kekalahan malam tadi (kelmarin) itu adalah kerana tentangan hebat lawan, hakikatnya ia berlaku kerana kesilapan mudah yang tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Pengendali berpengalaman itu berkata, dia kecewa dengan persembahan anak buahnya kelmarin dan berhasrat untuk memberikan kata dua kepada mereka yang berkenaan dalam pertemuan empat mata, demi memastikan prestasi pasukan tidak terus merudum.

"Pemain sepatutnya berterus terang dengan menyatakan sebarang masalah, kalau tidak boleh berikan 100 peratus...beritahulah, saya amat kecewa dengan persembahan yang mereka pamerkan tidak seperti sebelum ini.

"Mereka bukan baru dalam skuad ini apa lagi berjaya membantu pasukan muncul naib juara Liga Super musim lalu," katanya yang menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan drastik ke atas pemain terbabit.

Kredit kepada: Mohd Amin Jalil

0 comments:

Post a Comment