Thursday, July 2, 2009

BERITA - Kewangan Perak kini makin tenat

PETANDA betapa parahnya situasi kewangan yang membelenggu kancah Liga Malaysia kian ketara apabila Perak pula menjadi pasukan terbaru menghantar isyarat 'SOS' kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Nizar Jamaluddin hadir ke Wisma FAM dan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Namun, tidak seperti dua pasukan sebelum ini - Perlis dan UPB-MyTeam - yang mengancam mahu menarik diri daripada saingan Piala Malaysia, musim ini, Perak tidak berdepan masalah untuk menamatkan saingan musim ini.

Nada bimbang Pafa lebih terarah kepada belanjawan musim depan dan juga belenggu bayaran tertunggak gaji pemain serta jurulatih musim lalu, Steve Darby yang setakat ini masih belum dilunaskan.

"Ya, saya berjumpa dengan Nizar pagi tadi (semalam) dan dia menyuarakan kebimbangan berhubung kewangan Pafa untuk menghadapi saingan Liga-M, musim depan, serta ingin mendapatkan apa saja bantuan kewangan yang boleh diberi FAM.

"Saya minta Nizar menghantar surat berhubung perkara ini dan ia akan disampaikan sendiri kepada Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah).

"Memang sudah terdapat beberapa pasukan lain yang turut memohon bantuan FAM, tetapi sukar jika mereka hanya bergantung kepada FAM dan setiap negeri dan kelab juga perlu meningkatkan usaha memperbaiki keadaan kewangan mereka," kata Azzuddin yang ditemui pada majlis pelancaran Piala Selangor di Shah Alam bagi perlawanan menentang kelab Indonesia, Persib Bandung pada 31 Julai ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir minta Nizar melepaskan jawatan Presiden Pafa untuk membuka laluan kepada individu lain menerajui persatuan berkenaan.

Zambry berkata kedudukan kewangan persatuan kini tenat dan wajar seorang pemimpin yang mampu menangani masalah berkenaan dibenarkan menerajui persatuan itu.

Kredit kepada: Mohd Fadzrie Hazis

0 comments:

Post a Comment