Thursday, July 9, 2009

BERITA - Benam Polis sah gelaran

BERITA gembira diterima dari Stadium Perak ketika pencabar terdekat, Perlis terikat 1-1 dengan Perak malam kelmarin, pasti melebarkan senyuman jurulatih Selangor, K Devan tatkala impian merangkul kejuaraan Liga Super semakin menjadi kenyataan.

Beraksi cemerlang sejak mencatat rekod tanpa kalah kepada sembilan perlawanan, skuad Gergasi Merah hanya menunggu kemenangan ke atas Polis, Selasa ini untuk membolehkan mereka meraikan kejayaan buat julung kalinya.

Akan tetapi, selagi keputusan menentang Polis belum diketahui, debaran Devan belum berakhir dan kemenangan adalah satu-satunya peluang terbaik jika seri, Selangor terpaksa menunggu perlawanan terakhir menentang menentang Pahang di laman sendiri hujung bulan ini.

Seperti mana kata Devan, kemenangan adalah jalan terbaik membolehkan anak buahnya meraikan kejayaan dan seandainya ia menjadi kenyataan, maka tiga trofi sah menjadi milik Selangor musim ini.

“Untuk muncul juara liga, kita perlu meneruskan rentak kemenangan dan tidak boleh bergantung kepada keputusan mana-mana pasukan lain. Jalan selamat kita perlu menang,” katanya.

Selangor menjadi antara pasukan terbanyak meraih gelaran apabila menjuarai Liga Divisyen 1/ Liga Premier 1 pada 1989, 1990 dan 2003.

Gergasi Merah Kuning itu turut menjuarai Liga Divisyen 2/ Liga Premier 2 1993 dan kali terakhir ialah pada 2005, ketika itu skuad ini di bawah kendalian Dollah Salleh yang kini ditugaskan mengendali Pahang.

Selangor hampir mengulangi kejayaan 2005 apabila dua piala - Piala Sumbangsih dan Piala FA menjadi milik mereka. Mereka mengetepikan Kedah pada aksi Piala Sumbangsih dan Kelantan, Piala FA.

Kemenangan 4-1 ke atas Kuala Muda Naza adalah titik permulaan kepada usaha merampas gelaran itu daripada penyandang, Kedah yang kini ketinggalan 12 mata di tangga ketiga.

Prestasi Kedah musim ini tidak seperti dijangkakan selepas ketiadaan pemain import apabila skuad bimbingan Azraai Khor Abdullah membuka tirai Liga M dengan tiga kekalahan berturut-turut.

Kredit kepada: Alias Abd Rani

0 comments:

Post a Comment