Tuesday, July 14, 2009

BERITA - Bahang Liga Super semakin panas

Walaupun tumpuan peminat bola sepak tempatan terarah kepada kelab Liga Perdana England (EPL), Manchester United yang akan menentang Malaysia Sabtu ini tetapi debaran penentuan juara Liga Super semakin dirasai.

Ramai yang berpendapat Selangor akan muncul juara bagi edisi 2009 ini tetapi ada juga segelintir peminat terutamanya di utara Semenanjung mengharapkan keajaiban akan berlaku dalam baki dua perlawanan minggu depan.

Selepas mencatatkan kemenangan besar 4-1 ke atas KM Naza minggu lepas, Selangor semakin yakin untuk membawa pulang piala Liga Super ke Stadium Shah Alam semula selepas gagal berbuat demikian musim lalu yang memperlihatkan penguasaan Kedah secara total.

Lebih menggembirakan pasukan skuad Merah Kuning itu berjaya menjarakkan mata dengan pencabarnya selepas Perlis sekadar mencatat keputusan seri di Stadium Perak, menjadikan kedua-dua pasukan dibezakan dengan empat mata.

Baki dua lagi perlawanan ternyata memihak kepada Selangor apabila bertemu dengan dua pasukan terbawah liga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pahang, sukar untuk meramalkan mereka akan tewas dalam perlawanan ini.

Bagi skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim pula, mereka perlu mengharapkan keajaiban walaupun lawan mereka selepas ini adalah PDRM dan KL Plus, jika berjaya mencatat dua kemenangan sama seperti Selangor mereka tetap akan ketinggalan dengan empat mata.

Menurut jurulatih Selangor, K. Devan, rehat selama dua minggu ini amat bermakna buat pemainnya selepas berhempas-pulas dalam perlawanan sebelum ini untuk terus menjarakkan kedudukan dengan pasukan Perlis.

"Selepas ini kami tetap akan menggunakan pendekatan yang sama, tidak ada sebarang perubahan ketara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, matlamat utama Selangor ialah bukan memikirkan tentang kekuatan dan kelemahan dua pasukan terbawah yang bakal ditentang mereka, sebaliknya mempersiapkan diri mereka sendiri untuk mengutip mata penuh.

"Saya tidak mahu pemain memikirkan tentang pasukan lawan sebaliknya fikir tentang pasukan mereka sendiri dan capai sasaran untuk memungut tiga mata penuh," kata Devan

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini pada pusingan pertama Selangor telah membenam PDRM 5-1 di tempat sendiri, manakala di Stadium Darulmakmur pula mereka berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1.

Perlis pula dijangka sekali lagi mendapat tentangan sengit kali ini kepada pasukan yang sedang bangkit, KL Plus sebelum menentang PDRM di Stadium Utama.

Jika kedua-dua pasukan terikat dengan mengumpul mata yang sama, Selangor sekali lagi dilihat mempunyai kelebihan selepas memiliki jumlah jaringan yang besar berbanding Perlis.

Apa pun, kesemua persoalan dan spekulasi ini akan terjawab minggu depan dan mungkin perlawanan terakhir menjadi penentuan kepada siapa yang bakal menjadi juara Liga Super 2009.

Kredit kepada: Ferzalfie Fauzi

0 comments:

Post a Comment